22 December 2022

Luka Lama Yang Masih Tidak Sembuh

Hari itu, aku mengajak Ika dan side kickku untuk menghantar Ustazah Hanis pulang. Sebenarnya, aku sangat menghargai masa-masa memandu kereta. Semasa memandu, aku sebenarnya mencari idea-idea dan fomula-formula baharu untuk perkembangan muridku. Kadangkala, ketika memandu, aku akan merangka-rangka aku menulis cereka di dalam minda. Membina imaginasi dan merawat jiwa.  Healing orang kata. Maka, disebabkan itulah aku suka menghantar orang pulang atau menjadi pemandu kemana sahaja.

Berbual hati ke hati dengan murid perempuan merupakan perkara yang sangat susah berlaku di sekolah. Kadang kala murid perempuan malas untuk keluar bersiap atau biasalah. Kau tahu kan murid perempuan suka berkepit dengan kawan-kawan. Macam aku dulu lah. 
Perjalanan pulang, aku berbual bual dengan Ika. Dari hal ehwal keluarga hingga asrama. Cerita punya cerita. Aku menjadi semakin serba salah mendengar cerita Ika.

Bila Ika bercerita tentang kisah 2019, aku makin bersalah. Ketika itu, aku merupakan guru kelasnya. Tetapi, langsung aku tidak tahu apa yang terjadi. Tahun itu, tahun pertama menjadi guru. Lagi pula, tentu budak-budak pun turut tidak yakin dengan aku sebagai guru baru. Mereka dimarahi dan disalahkan sehingga berbekas hingga kini. 

Buat anak muridku, terutama anak perempuan 2 Abu Bakar 2019.

Aku memohon maaf atas kekhilafanku,
Kecuaianku terhadap dirimu lewat masa itu,
Sungguh,
Aku tidak tahu, juga tidak mengerti,
Jika masa boleh diulang kembali,
Akanku pertahankan kamu,
Mengelap air matamu,
Membasuh lukamu,
Merawat pedihmu.
Namun, 
Masa tidak boleh diputar kembali,
Yang pergi tetap pergi,
Yang dimarahi tetap berbekas di hati,
Maafkanku wahai anak berbudi.

No comments:

Post a Comment